Sejarah Pengakap Laut Sedunia

Sejarah Pengakap Laut Sedunia

Pengasas Pengakap, Lord Baden Powell (BP) lahir di dalam sebuah keluarga yang terlibat secara intensif di dalam aktiviti marin dan kelautan. Kematian bapanya ketika berusia 3 tahun menyebabkan Lord BP menjadi begitu rapat dengan datuk di sebelah ibunya, Laksamana William Smyth. Datuknya memulakan kerjaya sebagai tentera laut bermula dari bawah dan berjaya menjadi laksamana pada 1863. Abang kepada Lord BP iaitu Warington Baden Powell yang lebih tua 10 tahun daripadanya memulakan kerjaya sebagai "Merchant Marine".

 Warington Baden Powell adalah pengasas kepada pelayaran keno dan menulis sebuah buku bertajuk “Canoe Travelling: and practical hints on building and fitting canoes”. Beliau menjalani latihan kelautannya di HMS Conway selama 3 tahun sebelum menyertai Hotspur pada 1864.

Warington menyertai HMS Conway pada 1861 ketika berusia 14 tahun. HMS Conway adalah bekas kapal tentera laut yang berlabuh secara kekal dan digunakan sebagai tempat latihan. Sekitar tahun 1872, Lord BP dan abang-abangnya membuat ekspedisi menjelajah negaranya menggunakan keno. Mereka berkeno menuju ke arah punca sungai Thames hingga tiba di Wales. Dalam ekspedisi ini, mereka berkhemah dan memasak makanan menggunakan unggun.

Warington menukar pekerjaannya ke bidang undang-undang pada 1873 dan diterima menjadi King Counsel. Beliau memulakan usaha merekabentuk dan mengawai pembinaan kapal layar miliknya yang dinamakan Diamond. Terdapat banyak faktor mengapa Lord BP mengadakan perkhemahan Pengakap yang pertama di Pulau Brownsea. Namun yang pasti, Pulau Brownsea membolehkan para peserta menaiki bot dan mengalami perjalanan di laut.

Dalam tahun 1908, lencana “seaman badge” adalah antara lima lencana kemajuan terawal yang dikeluarkan untuk ahli Pengakap. Lord BP sering menekankan bahawa “seorang Pengakap hendaklah tahu mengendalikan bot dan membawanya bersebelahan dengan kapal secara selamat”.

Pada 1909, perkhemahan Pengakap yang ketiga diadakan Beaulieu River dan memberi penekanan kepada aktiviti-aktiviti air. Perkhemahan di Beaulieu menyedarkan Lord BP tentang potensi dan peranan Pengakap Laut. Oleh itu, beliau mengamanahkan kepada abangnya Warington untuk menulis buku panduan tentang Pengakap Laut. Warington telah membentangkan ideanya tentang Pengakap Laut di dalam Kursus Pemimpin Pengakap di London pada Januari 1911.

Sebaik sahaja Pengakap Laut diumumkan, banyak pasukan Pengakap terutamanya di kawasan pantai mahu bertukar kepada skim baru ini. Ramai bekas pelayar dan pelaut yang berminat untuk menjadi Pemimpin Pengakap Laut. Antara pasukan-pasukan awal Pengakap Laut di England ialah:

-1st Cleethorpes

-1st Ratcliffe, London

-1st Skegness

-Hamble Sea Scouts

-Gibraltar Sea Scouts

Warington Baden Powell telah mengeluarkan buku panduan untuk Pengakap Laut bertajuk “Sea Scouting and Seamanship for Boys” pada tahun 1912.Di dalam bukunya, Warington menyatakan dengan jelas bahawa:

“Pengakap Laut adalah cabang kepada pergerakan Pengakap” & “Pengakap diutamakan dahulu, selepas itu barulah pelaut” (Scout first, Seaman afterwards)

Undang-undang, organisasi, lencana, pangkat, pakaian seragam dan nasihat tentang latihan dinyatakan dengan jelas:

"Pengawal pantai atau pesara tentera laut akan digunakan untuk menguji lencana. Adalah dinasihatkan supaya setiap kumpulan melantik seorang "bapa laut" (sea dad) iaitu sama ada pengawal pantai, bekas pegawai tentera laut atau kelasi kapal nelayan.

Buku panduan Pengakap Laut yang kedua ialah “Seamanship for Scouts” yang ditulis oleh Lt. Stuart Garnett pada 1915 di mana buku ini adalah lebih mendalam berbanding buku pertama. Warington Baden Powell meninggal dunia pada 24 April 1921 akibat penyakit tuberculosis. Dipercayai bahawa penyakit ini menghalang beliau memegang jawatan sebagai Chief Sea Scouts.

Kulit buku "Sea Scouting and Seamanship for Boys" yang ditulis oleh Warington Baden Powell

Leave a Reply

Close Menu