Sejarah Pengakap Laut Di Malaysia

Sejarah Pengakap Laut Di Malaysia

PENGAKAP Laut adalah salah satu daripada cabang Pergerakan Pengakap sejak era awal penubuhannya. Pengasas Pergerakan Pengakap iaitu Lord Baden-Powell lahir dalam sebuah keluarga yang kaya dengan tradisi kelautan. Datuk di sebelah ibunya iaitu Laksamana William Henry Smyth adalah panglima tentera laut semasa Perang Nepoleon dan merupakan seorang ahli hidrografi dan astronomi yang masyhur. Abang beliau, Warington Baden Powell pula adalah seorang pelaut komersil dan pengasas pelayaran keno. Warington kemudiannya telah diamanahkan oleh Lord Baden-Powell untuk mengasaskan Pengakap Laut.

Perkhemahan percubaan pertama di Pulau Brownsea pada 1907 menunjukkan bahawa elemen kelautan adalah amat dipentingkan dalam Pengakap. Lencana “Seaman” telah dijadikan sebagai salah satu daripada lima lencana terawal yang diperkenalkan oleh Pergerakan Pengakap. Lanjutan daripada itu, Warington Baden Powell telah menggariskan konsep Pengakap Laut di dalam sebuah Kursus Pemimpin Pengakap di London pada Januari 1911. Sejak detik tersebut, Pengakap Laut telah berkembang ke seluruh dunia terutamanya di negara-negara yang mempunyai perairan termasuklah di Malaya dan Borneo.

Sejarah negara merekodkan bahawa Pengakap Laut telah bertapak sejak sekian lama di negara ini terutamanya selepas Perang Dunia Kedua dan terbabit secara aktif dalam sambutan pengisytiharan kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957. Malaysia mempunyai banyak kelebihan untuk penganjuran aktiviti Pengakap Laut kerana negara ini dikelilingi laut, mempunyai banyak sungai dan tasik serta dilengkapi dengan pelbagai kemudahan maritim yang membolehkan pelbagai aktiviti dan latihan kelautan yang menyeronokkan dianjurkan dari semasa ke semasa.

Pengakap Laut di Malaysia dibahagikan kepada tiga unit iaitu Pengakap Muda Laut (bagi pelajar menengah rendah), Pengakap Remaja Laut (bagi pelajar menengah atas) dan Pengakap Kelana Laut (bagi ahli dewasa dan lepasan sekolah menengah). Tiada unit Pengakap Laut ditubuhkan bagi Pengakap Kanak-kanak. Aktiviti-aktiviti Pengakap Laut dijalankan mengikut skim latihan yang telah ditetapkan oleh Ibu Pejabat Persekutuan Pengakap Malaysia. Kita amat bertuah kerana Skim Latihan Pengakap Laut yang baru telah dilancarkan pada 23 Januari 2011 dan menjanjikan pelbagai aktiviti yang menarik untuk ahli-ahli Pengakap Laut.

Leave a Reply

Close Menu